Pesara rugi lebih RM180,000 angkara ‘pegawai pos’

Pesara rugi lebih RM180,000 angkara ‘pegawai pos’

Polis berkata lelaki itu menerima panggilan telefon yang mendakwa ada bungkusan mengandungi kad pengenalan mangsa dihantar ke Sarawak.

Polis berkata mangsa melakukan 38 transaksi ke enam akaun bank berjumlah RM186,450 sejak Khamis lalu sehingga semalam sebelum menyedari ditipu.
IPOH:
Seorang pesara kerajaan rugi lebih RM180,000 akibat diperdaya sindiket penipuan penghantaran barang dengan menggunakan modus operandi “phone scam”, Khamis lalu.

Ketua Polis Taiping, Razlam Ab Hamid, berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki itu pada 6.24 petang semalam.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa pegawai dari Pejabat Pos Kuala Lumpur.

“Suspek kemudian mendakwa konon ada satu bungkusan mengandungi kad pengenalan mangsa serta beberapa kad kredit dihantar ke Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Razlam berkata, mangsa yang menafikan mengenai penghantaran berkenaan diminta membuat aduan di IPD Melaka secara dalam talian sahaja.

Beliau berkata, mangsa kemudian disambungkan kepada suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis bergelar “Datuk”.

Suspek kedua memberitahu mangsa perlu memindahkan wang sebanyak RM186,450 ke dalam akaun diberikan bagi tujuan siasatan.

“Oleh kerana dalam keadaan cemas dan ketakutan, mangsa menuruti arahan daripada suspek kedua dengan melakukan 38 transaksi ke dalam enam akaun bank berjumlah RM186,450 sejak Khamis lalu sehingga semalam.

“Selepas itu, suspek kedua itu memberitahu akan memaklumkan kembali setelah selesai siasatan dalam masa 30 minit, namun selepas tempoh itu berlalu mangsa tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya.

Razlam berkata, mangsa menghubungi semula talian tersebut namun panggilannya disekat dan beliau membuat laporan polis selepas menyedari ditipu.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.