
Presidennya Amrahi Buang berkata setiap ubat yang digunakan mempunyai risiko tersendiri jika tidak diambil dengan betul dan pengguna seharusnya memahami kesan sampingan apabila memakannya, bukan secara sambil lewa.

“Kalau kita tengok ubat paracetamol (untuk mengurangkan demam dan sakit) yang biasa dijual pun boleh menyebabkan keracunan kalau tidak diambil dengan betul, kes-kes ini berlaku dalam masyarakat.
“Kalau hendak jual ubat pada mesin layan diri (di PPR), itu satu daripada cabarannya sebab kes orang ambil paracetamol untuk mencederakan diri sendiri…perkara ini boleh dirujuk ke Pusat Racun Negara,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mewujudkan kios mesin layan diri perubatan di PPR di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata inisiatif itu bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan ubat dan perubatan semasa kecemasan khususnya ketika lewat malam.
Mengulas lanjut, Amrahi berkata kerajaan perlu memantapkan garis panduan penjualan ubat di mesin layan diri di tempat awam dan menjelaskan kekeliruan berhubung aspek kes kecemasan seperti dinyatakan Nga.
“Kalau lihat kenyataan menteri beliau seolah-olah mengatakan mesin ini untuk tujuan kecemasan, kalau itu sepatutnya jumpa doktor terlebih dahulu atau jabatan kecemasan di hospital,” katanya yang turut membangkitkan isu harga memandangkan kebanyakan penduduk PPR dari kategori B40.
Menurutnya, persatuannya sedia berbincang dengan kerajaan untuk membantu memantapkan garis panduan sebelum mesin layan diri menjual ubat dibenarkan di PPR.