Ketua MCA Selangor meninggal dunia

Ketua MCA Selangor meninggal dunia

Ng Chok Sin dilaporkan meninggal dunia secara mengejut selepas melakukan senaman petang tadi.

Ng Chok Sin juga adalah AJK pusat MCA dan pernah menjadi calon BN di DUN Sungai Pelek pada PRU 2013 dan 2018. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua MCA Selangor Ng Chok Sin dilaporkan meninggal dunia secara mengejut selepas melakukan aktiviti senaman petang tadi.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, yang dihubungi FMT mengesahkan Ng meninggal dunia kira-kira 5 petang, selepas melakukan senaman.

Bagaimanapun, punca kematian pemimpin berusia 55 tahun itu tidak didedahkan.

Presiden MCA, Wee Ka Siong, dalam hantaran di Facebook berkata kematian Ng satu kehilangan besar dan sangat dirasai parti itu.

“Terkejut menerima berita sedih pemergian Ng. Beliau pernah memegang banyak jawatan dalam parti termasuk AJK pusat, pengerusi MCA Sepang, setiausaha MCA Selangor, timbalan setiausaha agung Pemuda dan bendahari Pemuda MCA Selangor.

“Ng merupakan anak tempatan Sungai Pelek, beliau pernah diberi peluang untuk bertanding di DUN Sungai Pelek sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada 2013 dan 2018,” kata Wee.

Wee berkata, Ng yang dilantik ketua MCA Selangor pada 2018 adalah seorang yang setia dan sentiasa bersama parti ketika susah dan senang.

“Beliau memainkan peranan untuk menjaga kepentingan rakyat bersama dengan barisan pimpinan MCA Selangor.

“Pemergian beliau adalah satu kerugian besar kepada parti. Saya berharap keluarga Ng kekal tabah dan kuat,” katanya.

Ng meninggalkan seorang isteri dan empat anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.