Bukan tolak, Nur Jazlan perjelas ‘belum bersemangat’ kerjasama PH-BN

Bukan tolak, Nur Jazlan perjelas ‘belum bersemangat’ kerjasama PH-BN

Nur Jazlan Mohamed berkata pengundi Umno secara keseluruhannya belum bersemangat dengan kerjasama PH-BN yang masih baharu.

Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed yakin akar umbi BN akan memilih kestabilan politik bawah kerajaan perpaduan (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed menafikan cawangan Umno bahagiannya menolak calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen itu, Suhaizan Kayat.

Katanya, pengundi Umno secara keseluruhannya belum bersemangat dengan kerjasama PH-Barisan Nasional (BN) yang masih baharu.

“Bukan ketua cawangan sahaja tapi pengundi Umno keseluruhan. Mereka bukan menolak tapi belum bersemangat dengan kerjasama PH-BN ini yang masih baharu,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mengesahkan kain rentang menolak Suhaizan sebagai calon kerajaan perpaduan bukan dilakukan akar umbi Umno Pulai.

Semalam, tular kain rentang menolak Suhaizan sebagai calon kerajaan perpaduan oleh akar umbi Umno.

Kain rentang berkenaan tertulis “Kami cawangan-cawangan Umno Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan”.

Terdahulu, Suhaizan menafikan akar umbi BN dan Umno Johor menolaknya sambil menegaskan ada keterbukaan jentera dua gabungan itu.

Suhaizan yang juga naib pengerusi Amanah berkata, sentimen penolakan dibangkitkan hanya propaganda untuk melagakan hubungan baik PH-BN.

Sementara itu, Nur Jazlan yakin akar umbi BN dan Umno Johor akan memilih kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara bawah kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.