Saya tiada hak pertikai ‘kegilaan’ seseorang, Zahid ulas Sanusi

Saya tiada hak pertikai ‘kegilaan’ seseorang, Zahid ulas Sanusi

Sanusi Nor sebelum ini dilaporkan berkata gelombang PN yang tercetus dalam PRN lalu akan melanda Johor sampai ke Singapura.

Zahid Hamidi enggan ‘melayan’ dakwaan Sanusi Nor Simpang Jeram dijangka menjadi pencetus gelombang Perikatan Nasional di Johor.
PETALING JAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi enggan “melayan” dakwaan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor, DUN Simpang Jeram dijangka menjadi pintu masuk serta pencetus gelombang PN bertapak di Johor pada pilihan raya akan datang.

“Tanya dia kenapa dia cakap macam itu…saya tak ada hak untuk pertikaikan kegilaan seseorang,” katanya selepas mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat pada penamaan calon PRK Parlimen Pulai.

Sebelum ini, Sanusi yang dipetik Berita Harian berkata gelombang PN yang tercetus dalam PRN lalu akan melanda Johor sampai ke Singapura.

Menteri besar Kedah berkata, pengundi kawasan berkenaan perlu membuat eksperimen untuk memastikan gelombang itu terus kekal sebagai isyarat penting kepada PH dan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, mengulas mengenai peluang di Pulai, Zahid berkata beliau melihat terdapat keserasian antara parti komponen dalam kerajaan perpaduan ketika ini.

“Keserasian ini berada di tahap tertinggi di peringkat pemimpin nasional dan negeri. Namun harus akui di peringkat akar umbi memerlukan sedikit waktu.

“Dalam tempoh kempen bermula hari ini jentera kita dapat dipadukan dengan (kerjasama ) jentera (parti-parti) dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan menghadapi PRK pada 9 Sept susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.

Penamaan calon diadakan hari ini manakala pengundian awal pada 5 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.