Berang pesanan lambat, 2 lelaki pukul pekerja kedai makan

Berang pesanan lambat, 2 lelaki pukul pekerja kedai makan

Dua suspek ditahan dan polis turut merampas sebatang cota serta satu topi keledar dipercayai digunakan ketika kejadian.

Dua suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama, kata polis.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan dua lelaki disyaki memukul dua pekerja kedai makan kerana pesanan lambat disediakan dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Perhentian Haji Salleh, semalam.

Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata dalam insiden kira-kira 6 pagi itu, seorang lelaki bertindak memaki hamun dan memukul pekerja berkenaan menggunakan penyapu selepas pesanannya tidak dapat disiapkan segera berikutan kedai baru dibuka.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian datang bersama seorang rakannya pada 8.30 pagi dan sekali lagi memaki hamun pekerja dan merosakkan peralatan di gerai tersebut hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM12,000.

“Bertindak atas panggilan MERS 999, polis menghantar sepasukan anggota dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) ke tempat kejadian sebelum kedua-dua suspek ditangkap di kedai bersebelahan dengan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sukarno berkata, polis turut merampas sebatang cota dan satu topi keledar dipercayai digunakan ketika kejadian.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

Kedua-duanya akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 427 kanun sama kerana perbuatan khianat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.