
Marlin Ahmad, 50, berkata sikap timbalan perdana menteri itu diberitahu arwah abangnya, Allahyarham Sanusi Ahmad, selaku pengasas syarikat kontraktor, Sutida Enterprise yang mengendalikan projek berkenaan.
“Saya mengetahui hampir semua kerja atau projek yang arwah abang saya (Sanusi) lakukan adalah arahan daripada Datuk Seri Zahid. Kebiasaannya arwah abang akan membuat dulu (kerja) arahan Datuk Seri Zahid tanpa meminta apa-apa bayaran pendahuluan.
“Ini kerana, Datuk Seri Zahid sentiasa menepati janji dan akan membayar hasil kerja daripada arwah abang. Arwah abang saya juga pernah memberitahu kadangkala Datuk Seri Zahid akan membayar lebih kepada arwah abang.”
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes Zahid yang diperintah membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Marlin berkata, antara projek dilaksanakan Sutida Enterprise di Bagan Datuk sejak 1999 ialah Rumah Anak Yatim Hamidiyah dengan kos RM1.14 juta, Masjid Seri Perkasa bernilai RM600,000, Surau Kampung Parit 25 Darat bernilai RM50,000 serta Dewan Hajah Tuminah menelan belanja RM450,000 dan projek terbaharu pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi.
Menurut saksi pembelaan ke-13 itu, Zahid tidak gemar sumbangannya diketahui pihak lain sehinggakan setiap pembinaan dilaksanakan Sutida Enterprise tidak pernah dibuat notis atau papan tanda ia sumbangan Zahid.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Seri Perkasa di Kampung Seri Perkasa Hutan Melintang, Bagan Datuk, Atan Sampol, 67, memberitahu mahkamah bahawa Zahid sentiasa menjaga serta memberi perhatian kepada penduduk di Bagan Datuk, khususnya anak yatim dan penduduk susah.
Atan berkata, ahli Parlimen Bagan Datuk itu amat pemurah serta dermawan dengan hampir semua masjid serta surau di daerah itu daripada sumbangan peribadi Zahid.
“Kos pembinaan (masjid) hampir RM600,000 itu 100% sumbangannya daripada Zahid. Masjid ini yang siap sepenuhnya pada 2006 dirasmikan pada 2008.”
Saksi pembelaan ke-14 itu berkata, bayaran bagi pembinaan masjid tersebut dibayar terus kepada kontraktor, iaitu Allahyarham Sanusi yang meninggal dunia pada 2015 akibat kanser.
Atan yang juga ahli jawatankuasa masjid itu hampir 20 tahun, berkata antara sumbangan Zahid kepada penduduk Bagan Datuk adalah seekor lembu disumbang bagi setiap 50 masjid dan surau setiap Aidiladha.
Zahid turut menyumbang 100 hingga 200 bungkus makanan asas kepada Masjid Seri Perkasa pada Ramadan serta RM100 bagi setiap 1,500 peserta tadarus al-Quran.
Pengerusi Surau An Nur Parit 25 Darat di Bagan Datuk, Mokhtar Tukol, 66, memberitahu mahkamah sepanjang mengenali Zahid lebih 35 tahun semasa beliau baru menceburi bidang politik di Bagan Datuk, Zahid sangat pemurah bagi tujuan kebaikan.
“Beliau (Zahid) pernah menyatakan kepada saya secara peribadi apabila berkemampuan dan mempunyai peluang, sudah tentu beliau akan menyumbang sebagai sahamnya di akhirat,” kata saksi pembelaan ke-15 itu.
Beliau berkata, Zahid antaranya menyumbang bagi pembinaan serta menambah baik Surau An Nur Parit 25, selain menyumbang RM200 kepada ibu tunggal, anak yatim, keluarga daif, orang kurang upaya di Bagan Datuk menjelang Ramadan.
Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 4 Sept ini.