Segera putus representasi Zahid, peguam negara diberitahu

Segera putus representasi Zahid, peguam negara diberitahu

Hisham Teh Poh Teik, Zaidi Zainal dan Hamidi Noh menggesa peguam negara membuat keputusan sebelum pihak pembelaan memanggil lebih ramai saksi.

Zahid Hamidi dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peguam Zahid Hamidi memohon peguam negara menyegerakan keputusan representasi timbalan perdana menteri itu bagi pertuduhan yang dihadapinya.

Hisham Teh Poh Teik, Zaidi Zainal dan Hamidi Noh menggesa peguam negara membuat keputusan sebelum pihak pembelaan memanggil lebih ramai saksi-saksinya untuk memberi keterangan.

“Sehingga hari ini, pihak pembelaan masih tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak peguam negara. Jawapan representasi ini diperlukan segera bagi memastikan kos dan masa dapat dijimatkan oleh kedua-dua pihak,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Menurut mereka, ia adalah perkara biasa dan menjadi hak untuk tertuduh memasukkan representasi kepada pihak peguam negara.

Ketiga-tiga peguam itu berkata, Zahid hanya menggunakan haknya sebagai tertuduh untuk mengemukakan representasi kepada peguam negara, justeru tidak adil untuk mana-mana pihak yang cuba campur tangan dan mempolitikkan isu ini.

“Mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan fakta representasi tersebut untuk kepentingan politik, atau menakut-nakutkan orang ramai dengan memberi sangkaan buruk terhadap representasi tersebut.

“Pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang memprejudiskan hak anak guam kami dalam mempraktikkan haknya bagi representasi ini,” katanya.

Zahid dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Sebanyak 12 daripada pertuduhan adalah CBT, lapan untuk rasuah dan selebihnya pengubahan wang haram.

Ketika prosiding pada 10 April lalu, mahkamah diberitahu pihak pembelaan menghantar representasi kepada peguam negara pada Januari dan Februari.

Pada 1 Ogos lalu, pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi ia masih mempertimbangkan representasi timbalan perdana menteri mengenai bukti baharu dalam kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.