
Suspek terbabit ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, berkata empat individu ditahan pada 7 hingga 9.15 malam itu berumur 23 hingga 30 tahun, terdiri daripada tiga warga Thailand, iaitu sepasang suami isteri serta seorang wanita, dan seorang lelaki tempatan.
Beliau berkata sindiket pengedaran dadah itu dikesan bergerak aktif sejak dua bulan lepas di sekitar ibu negara dan modus operandi mereka adalah menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diserahkan kepada pembeli.
“Serbuan pertama dilakukan di tepi jalan Taman Pertama, Cheras dengan menahan sepasang suami isteri warganegara Thailand dan seorang lelaki tempatan. Hasil siasatan awal, mereka tiada rekod jenayah lampau tetapi positif dadah, hasil ujian saringan air kencing.
“Polis melakukan serbuan kedua di parkir Solaris Dutamas dan menjumpai 15 bungkusan (16kg) dadah dipercayai syabu di dalam sebuah kereta. Seterusnya, polis menahan seorang lagi suspek, iaitu wanita Thailand dipercayai perancang utama sindiket ini di lobi sebuah residensi di Taman Kobena, Cheras,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata dadah dirampas itu mampu menampung penggunaan 30,000 penagih dadah dan sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM20,000 turut dirampas.
Allaudeen berkata pasangan suami isteri ditahan itu merupakan pekerja sebuah kedai tomyam, manakala lelaki tempatan itu bekerja di sebuah ladang kuda sekitar Selangor.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan untuk mengesan punca bekalan syabu itu diperoleh.”
Semua suspek direman tujuh hari hingga 24 Ogos ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat kepada polis agar kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota dapat diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur bandar raya selamat.
“Semua maklumat berkaitan dadah boleh disalurkan melalui hotline JSJN menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012 2087222 (24 jam).”