Pertimbang ajar Matematik, Sains dalam bahasa Inggeris, Dr M beritahu kerajaan

Pertimbang ajar Matematik, Sains dalam bahasa Inggeris, Dr M beritahu kerajaan

Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana sebahagian besar ilmu Sains dan Matematik berasal dari bahasa Inggeris.

Dr Mahathir Mohamad berkata ramai ibu bapa kecewa kerajaan menghentikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebagai pilihan.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, seperti di zaman pentadbirannya pada awal 2003.

Bekas perdana menteri itu berkata ia memandangkan sebahagian besar ilmu dalam subjek teras itu berasal dari bahasa berkenaan dan wujud banyak kekangan sekiranya diajar dalam bahasa Melayu antaranya dari segi terjemahan.

“Ilmu pengetahuan ini perlu diterjemah ke dalam Bahasa Melayu, penterjemah pula harus mempunyai kefahaman baik terhadap subjek dan lancar menggunakan bahasa Inggeris serta bahasa Melayu.

“Tidak ramai mempunyai kelayakan itu, selain itu, penemuan baharu dalam Sains dan Matematik berubah setiap hari untuk menterjemahkannya memerlukan sepasukan tentera penterjemah,” kata Mahathir di Facebook.

“Lebih baik juga tidak dijadikan pilihan. Putuskan untuk mengajar Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris.”

Awal bulan ini, FMT melaporkan rungutan sekumpulan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur tidak tahu mengenai pengurangan program Dwi Bahasa (DLP) di sekolah itu, lima bulan selepas mereka berusaha mendapatkan penjelasan.

Semasa minggu pertama kelas, mereka diberitahu bukan semua pelajar Darjah 1 akan diajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

DLP diperkenalkan pada 2016 di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris, menggantikan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) selepas dimansuh empat tahun sebelum itu.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa ramai ibu bapa kecewa apabila kerajaan menghentikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebagai pilihan.

Beliau mengakui keperluan untuk membangunkan bahasa kebangsaan namun objektif pendidikan adalah untuk memperoleh ilmu pengetahuan.

“Kita tidak boleh mengorbankan ilmu pengetahuan semata-mata mahu membangunkan bahasa kebangsaan.

“Sia-sia sahaja pendidikan sekiranya kita ketinggalan dari aspek ilmu pengetahuan yang merupakan asas kepada kemajuan dan pembangunan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.