Pekebun sayur rugi lebih RM700,000 ditipu Macau Scam

Pekebun sayur rugi lebih RM700,000 ditipu Macau Scam

Mangsa diperdaya selepas menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat penghantaran.

Polis berkata mangsa diarahkan oleh suspek untuk memindahkan wang daripada akaun simpanannya ke lima akaun berbeza sebelum menyedari ditipu.
KUANTAN:
Akibat panik dan takut ditangkap polis, seorang pekebun sayur di Cameron Highlands kerugian lebih RM790,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 54 tahun mendakwa kejadian bermula selepas beliau menerima panggilan telefon pada 19 Jun lepas daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat penghantaran.

“Suspek memberitahu mangsa untuk bercakap dengan suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis kerana barangan yang dialamatkan kepadanya mengandungi kad kredit, kad pengenalan dan pasport.

“‘Pegawai polis’ itu pula memaklumkan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mangsa berkaitan siasatan kes pengubahan wang haram yang akan menyebabkan akaun bank dibekukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa yang takut dengan ugutan itu mendakwa telah diarahkan untuk memindahkan wang daripada akaun simpanannya ke lima akaun berbeza diberikan suspek, kononnya bagi tujuan siasatan.

Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga selepas gagal menghubungi suspek bagi bertanya perkembangan siasatan menyebabkan beliau ke balai polis semalam.

Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Mereka juga boleh membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.