
Di bawah Sosma, tertuduh dinafikan ikat jamin dan perlu kekal dalam penjara sementara menunggu keputusan akhir prosiding mahkamah. Ini kerana pertuduhan itu dikatakan sebagai kesalahan yang menyentuh keselamatan negara.
Bagaimanapun, Seksyen 13 Sosma membenarkan ikat jamin jika pesalah berumur bawah 18 tahun, wanita, sakit atau kurang upaya.
“Salah satu pindaan yang dicadangkan adalah mengenai soal jaminan bagi tahanan (Sosma),” kata Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh kepada pemberita selepas satu majlis di sini hari ini.
“Pada masa ini, lebih kurang semua perbincangan dengan pihak berkepentingan (mengenai cadangan pindaan kepada Sosma) telah selesai. Kita akan membawa pindaan yang dicadangkan kepada Kabinet.”
Bagaimanapun, katanya, tiada garis masa khusus ditetapkan untuk pindaan itu.
Ramkarpal mengulangi bahawa pemansuhan undang-undang itu bukan dalam perancangan, sambil menambah bahawa tumpuan kerajaan adalah untuk menambah baik akta itu daripada membatalkannya.
Sosma diperkenalkan pada 2012 untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini dimansuhkan. Kedua-dua undang-undang membenarkan tempoh penahanan yang berpanjangan tanpa bicara.
Sebelum ini, dalam manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14, gabungan itu telah berjanji untuk memansuhkan “undang-undang drakonian”, termasuk Sosma.
Bagaimanapun, pemansuhan undang-undang itu tidak disenaraikan dalam manifesto PH untuk pilihan raya umum tahun lepas.
Awal bulan ini, kira-kira 100 ahli keluarga 69 tahanan Sosma melancarkan mogok lapar di hadapan penjara Sungai Buloh bagi menggesa kerajaan membebaskan semua banduan dan memansuhkan undang-undang.