Hari Kebangsaan: Kelantan guna logo, tema Putrajaya

Hari Kebangsaan: Kelantan guna logo, tema Putrajaya

Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan berkata negeri itu hanya menambah ayat di hujung tema iaitu "Membangun Bersama Islam".

Timbalan Menteri Besar Kelatan Mohamed Fadzli Hassan berkata negeri itu juga akan mengadakan sambutan Hari Kebangsaan sehari lebih awal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Kelantan akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama seperti kerajaan persekutuan, kata Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan.

Fadzli berkata tema sambutan Hari Kebangsaan untuk Kelantan kekal seperti tema kerajaan persekutuan, iaitu “Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

“Untuk Kelantan, kita hanya tambah ayat di hujung iaitu “Membangun Bersama Islam”. Lain-lain serta logo adalah sama,” katanya lapor Berita Harian.

Katanya, Kelantan juga akan mengadakan sambutan Hari Kebangsaan lebih awal berbanding sebelum ini, iaitu pada malam 30 Ogos.

“Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat pertama exco hari ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari memperkenalkan logo Hari Kebangsaan PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.

Katanya, beliau akan mencadangkan logo dan tema dilancarkan Pemuda PN diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.

Bagaimanapun katanya, tiada paksaan untuk menerima cadangan sayap itu yang tujuan asalnya bagi digunakan untuk ucapan pimpinan komponen berkenaan, susulan keputusan kerajaan Terengganu menggunakan logo dan tema diperkenalkan Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.