Selangor tumpu sektor perkhidmatan, selepas industri pembuatan ‘tepu’

Selangor tumpu sektor perkhidmatan, selepas industri pembuatan ‘tepu’

Menteri Besar Amirudin Shari berkata 60% daripada kegiatan ekonomi negeri disumbangkan daripada sektor perkhidmatan.

SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menjelaskan ekonomi negeri itu kini beransur kepada sektor perkhidmatan, dan tidak bergantung kepada industri pembuatan yang semakin “tepu”.

Amirudin berkata 60% daripada kegiatan ekonomi negeri disumbangkan daripada sektor perkhidmatan, manakala industri pembuatan menyumbang kira-kira 30% manakala bakinya daripada bidang lain.

Justeru, beliau berkata peralihan itu memberi kesan kepada nilai pelaburan dan eksport yang ketinggalan berbanding Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak, seperti dibangkitkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

“Sebahagian ekonomi kita beransur kepada perkhidmatan jadi pembuatan kita agak tepu berbanding Pulau Pinang yang (aktiviti ekonominya) lebih kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Semenjak pandemik (Covid-19) ekonomi kita adalah daripada industri perkhidmatan seperti hab logistik dan pusat pengedaran… itu yang menjadikan kita kekal penyumbang ekonomi terbesar (kepada persekutuan),” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan penjawat awam dan pelancaran kempen Jalur Gemilang peringkat Selangor.

Sultan Sharafuddin semalam bertitah Selangor mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport, dan meminta pentadbiran negeri mengambil tindakan segera. Pada tahun lalu, Selangor menyumbang 25.5% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada negara.

Amirudin berkata ekonomi sektor perkhidmatan membantu negeri mengimbangi industri pembuatan yang lembab kesan daripada pandemik.

“Di saat tempat lain mengalami kesan besar, kita catat lebih rendah (penguncupan ekonomi) sebab sektor perkhidmatan menyerap kesan daripada kegiatan ekonomi yang lembab dari segi pembuatan,” katanya.

Amirudin berkata negeri itu juga mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM2 bilion tahun ini – empat bulan lebih awal daripada jangkaan – dan berdasarkan prestasi semasa, tidak mustahil hasil kutipan cukai mampu menghampiri RM2.4 bilion pada akhir tahun ini.

“Saya percaya kalau ikut trend semasa, mungkin kita dapat perolehan yang lebih baik sebagaimana pencapaian sebelum ini. Saya boleh anggarkan dalam RM2.3 bilion hingga RM2.4 bilion boleh dapat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.