
Beliau berkata, mesin sedia ada hanya mampu mencetak 400 pasport sehari.
“Di luar sana ada mesin satu jam boleh cetak 1,200 buku, apa yang menghalang kita untuk dapatkannya? Apa saja yang boleh kita buat dalam lingkungan keupayaan kita untuk memberi keselesaan kepada rakyat, iaitu pengguna kita, mesti kita buat.
“Dapatkan segera (mesin pencetak), apa cara sekali pun supaya rakyat tak lagi bising kena beratur panjang. Itu perubahan luar biasa yang kita kena percepatkan. Itu saya minta KPI (Ketua Pengarah Imigresen) Datuk Ruslin (Jusoh) lah, boleh?” katanya dalam perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.
Untuk rekod, Jabatan Imigresen mengeluarkan 2.8 juta pasport sepanjang tempoh pasca pandemik Covid-19, peningkatan empat kali ganda berbanding tempoh sebelumnya.
Awal tahun ini, Saifuddin mengarahkan 20 pejabat pengeluaran pasport, selain Pusat Transformasi Bandar (UTC), beroperasi tujuh hari seminggu bagi mengatasi kesesakan di kaunter imigresen dalam jangka pendek.
Mengenai pindaan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan, termasuk anak dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara, Saifuddin berkata, libat urus dengan semua pihak berkepentingan sudah selesai dan ia akan dibentangkan kepada Majlis Raja-raja (MRR) pada Oktober ini.
Beliau berkata, Jemaah Menteri akan melaksanakan sebarang pindaan berdasarkan perkara yang dipersetujui institusi itu.
Pada 17 Feb lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said dan Saifuddin mengeluarkan kenyataan bersama memaklumkan Jemaah Menteri setuju meminda Perlembagaan berhubung isu itu.