Pelaburan domestik petunjuk prestasi utama FDI, kata PM

Pelaburan domestik petunjuk prestasi utama FDI, kata PM

Kerajaan komited mengimbangi pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik bagi merangsang pembangunan lestari seluruh negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bagi menjana pertumbuhan KDNK yang mampan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan menetapkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan khususnya melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara.

Katanya, kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bagi menjana pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang mampan.

“DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar Kerajaan bagi memantapkan landskap pelaburan dan perniagaan negara.

“Ia juga akan memperkasa ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi cabaran global seperti ancaman perubahan iklim serta pelbagai cabaran pasca pandemik dan geopolitik yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) kali kedua.

Anwar berkata, walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, ia perlu ditingkatkan dengan lebih menyeluruh.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat MPN juga menekankan salah satu mesej Ekonomi Madani iaitu kepentingan kerjasama dan pembabitan strategik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI.

Beliau berkata, GLIC mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion dan memainkan peranan penting bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur kritikal dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.

“MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuh ekonomi negara.

“Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan faedah FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi negara sekali gus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.