Lynas dibenar teruskan semakan kehakiman terhadap syarat lesen operasi

Lynas dibenar teruskan semakan kehakiman terhadap syarat lesen operasi

Pengeluar nadir bumi Australia itu dilarang mengimport dan memproses lantanida pekat di kilangnya di Kuantan mulai 1 Jan 2024.

Lynas Malaysia Sdn Bhd, yang mengendalikan sebuah kilang di Gebeng, Pahang, memohon semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan mengenakan beberapa syarat ke atas lesen operasinya. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Lynas Malaysia Sdn Bhd mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk meneruskan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan mengenakan beberapa syarat ke atas lesen operasinya.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan permohonan pengeluar nadir bumi itu selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah.

Lynas diwakili oleh Cecil Abraham selaku peguam, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Lynas pada bulan lepas memfailkan permohonan untuk mencabar syarat yang dikenakan ke atasnya yang melarang pengimportan dan pemprosesan lantanida pekat mulai 1 Jan 2024.

Prosiding itu dimulakan selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menolak dua rayuan oleh syarikat itu.

Pada 9 Mei, Chang berkata beliau tetap dengan keputusan menolak rayuan Lynas agar empat syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Atom digugurkan.

Beliau juga berkata lanjutan enam bulan yang diberikan kepada Lynas untuk meneruskan aktiviti retak dan larut lesap adalah muktamad.

Pada 28 April, kementerian mengadakan tribunal tertutup untuk membincangkan rayuan Lynas agar larangan dikenakan pada Mac 2020 dihapuskan.

Syarat-syarat tersebut menetapkan Lynas supaya memindahkan kerja-kerja retak dan larut lesapnya ke tapak di luar Malaysia pada 1 Julai. Syarikat itu hanya dibenarkan untuk menapis bahan perantaraan di kemudahannya di Gebeng, Pahang.

Rayuan dibuat selepas lembaga pelesenan menolak permohonan supaya empat syarat itu dihapuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.