
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata inisiatif itu bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan ubat dan perubatan semasa kecemasan khususnya ketika lewat malam.
“Kita sedang meneliti kerjasama dengan KKM supaya kiosk menjual ubat ini boleh diletak di kawasan PPR. Apabila anak sakit pada tengah malam (ibu bapa) tak payah pergi farmasi, ada kiosk 24 jam macam kita beli makanan ringan.
“Mesin layan diri ini boleh jual ubat macam panadol, vitamin semua boleh letak di kawasan PPR. Inisiatif ini baik untuk kita kaji,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Persefahaman Kerjasama Strategik Perkhidmatan Kesihatan dan Kebombaan.
Hadir sama Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Sementara itu, Zaliha berkata kerjasama antara KKM dan KPKT yang dimeterai memudahkan urusan termasuk melibatkan soal pengurusan bencana, penggunaan sumber aset serta pengurusan kebakaran.
“Kerjasama ini juga termasuk dari sudut pengalaman dan bantuan kebakaran, latihan perubatan dan sebagainya membabitkan KKM dan KPKT,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata kerjasama dua kementerian juga dapat menjimatkan kos RM15 juta setahun.
“Kalau lima tahun RM75 juta dapat kita jimat, ini penjimatan besar dapat bawa manfaat kepada rakyat,” katanya.