2 pemuda ditemui lemas ketika memancing

2 pemuda ditemui lemas ketika memancing

Mereka sebelum itu dilaporkan hilang selepas keluar memancing di pantai Kiamsam, Labuan.

Anggota bomba mengusung mayat mangsa yang ditemui lemas semalam. (Gambar Maritim Malaysia)
PETALING JAYA:
Dua pemuda yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di pantai Kiamsam, Labuan kelmarin ditemui lemas petang semalam.

Mangsa pertama, Yassin Jhonal, 20, ditemui 5.20 petang manakala seorang lagi mangsa, Mohd Shah Nadzmin, 19, ditemui dua minit selepas itu.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Labuan, Nudin Jusoh, berkata pasukannya menyelaras operasi Carilamat bersama agensi lain dan orang tempatan.

Katanya, pencarian awal dilakukan oleh bot kilat 40 milik Maritim Malaysia di lokasi kejadian membabitkan kawasan seluas empat batu nautika persegi sekitar pantai Kiamsam.

“Penemuan mayat pertama kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Kiamsam pada 5.20 petang semalam.

“Mayat kedua pula ditemui hampir 10 meter dari mayat pertama pada 5.22 petang. Mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh bot nelayan dan dibawa ke jeti oleh bomba,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, media melaporkan dua pemuda itu dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka untuk keluar memancing ditemukan terapung tanpa anak kapal di jeti terbabit, awal pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.