Dulu 7, kini Sanusi pegang 8 portfolio exco

Dulu 7, kini Sanusi pegang 8 portfolio exco

Antara portfolio dipegang MB Kedah itu termasuk perancang negeri, hasil bumi, kewangan, syarikat berkaitan kerajaan, pembangunan Kedah 2035 serta kerjasama luar.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mengetuai 10 exco lain mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mengetuai istiadat mengangkat sumpah exco negeri dengan memegang jumlah portfolio terbesar, iaitu lapan berbanding tujuh pada penggal sebelum ini.

Adun Jeneri itu mengekalkan portfolio perancang negeri; hal ehwal tanah, mineral, dan geosains; hasil bumi; kewangan; syarikat berkaitan kerajaan; majlis tindakan ekonomi negeri; dan pembangunan Kedah 2035; dengan tambahan portfolio kerjasama luar.

Turut dilantik semula Siti Aishah Ghazali (Merbau Pulas), Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Mohamad Yusoff@Munir Zakaria (Kuala Nerang) yang kekal memegang portfolio disandang mereka sebelum ini.

Siti Aishah memegang portfolio luar bandar, kemiskinan dan pembangunan insan; Halimaton (kebajikan, wanita, keluarga dan masyarakat, perpaduan); manakala Yusoff (kerja raya, sumber asli, bekalan air, sumber air dan alam sekitar).

Barisan Exco turut menampilkan tujuh muka baharu, iaitu Mohd Azam Abd Samat (Sungai Limau); Dr Haim Hilman Abdullah (Jitra); Mansor Zakaria (Kuala Ketil); Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti); Salleh Saidin (Kubang Rotan); Radhi Mat Din (Alor Mengkudu); dan Wong Chia Zhen (Kulim).

Seramai 11 ahli mesyuarat kerajaan negeri Kedah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit, hari ini.

Ia meliputi tujuh exco mewakili PAS, tiga dari Bersatu dan satu Gerakan.

PN membentuk kerajaan negeri selepas menang 33 daripada 36 kerusi DUN pada PRN 12 Ogos.

PAS menguasai sebahagian besar DUN Kedah dengan 21 kerusi, sementara Bersatu (11), Gerakan (1), PKR (2), dan DAP (1).

Berikut ialah senarai penuh exco Kedah:

  • Sanusi Nor (perancang negeri, hal ehwal tanah, mineral dan geosains, hasil bumi, kewangan, syarikat berkaitan kerajaan, majlis tindakan ekonomi negeri, pembangunan Kedah 2035 dan kerjasama luar);
  • Siti Aishah Ghazali (luar bandar, kemiskinan dan pembangunan insan);
  • Mohd Azam Abd Samat (pendidikan, agama, komunikasi dan penerangan);
  • Dr Haim Hilman Abdullah (industri dan pelaburan, pengajian tinggi; sains, teknologi dan inovasi);
  • Halimaton Shaadiah Saad (kebajikan, wanita, keluarga dan masyarakat, perpaduan);
  • Mohamad Yusoff@Munir Zakaria (kerja raya, sumber asli, bekalan air, sumber air dan alam sekitar);
  • Mansor Zakaria (perumahan, kerajaan tempatan, kesihatan);
  • Dzowahir Ab Ghani (pertanian, perladangan, pengangkutan);
  • Salleh Saidin (pelancongan, kebudayaan, keusahawanan);
  • Radhi Mat Din (kepenggunaan dan kos sara hidup, belia dan sukan);
  • Wong Chia Zhen (sumber manusia; masyarakat Cina, India dan Siam; NGO)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.