
Menteri Besarnya Mohd Shukri Ramli berkata tindakan itu bukan di luar kebiasaan dan pernah dilakukan blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) diketuai Anwar Ibrahim pada 2012 yang turut menyatakan tidak salah menggunakan logo dan tema berbeza dengan kerajaan pusat.
Pada 2012, PR menggunakan tema alternatif “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” bagi sambutan Hari Kebangsaan 2012, manakala tema rasmi kerajaan persekutuan adalah ‘55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’.
“Setakat ini (saya) belum dapat apa-apa lagi daripada pucuk pimpinan (Perikatan Nasional (PN)), jadi kita kena tunggu dan lihat dahulu dan perkara ini juga akan dibincangkan dengan pucuk pimpinan PN terlebih dahulu.
“Namun, saya melihat kita boleh sahaja ikut (kerajaan pusat), tiada masalah cuma kita tidak pakai logo Malaysia Madani itu sebaliknya kita pakai moto (tema) sahaja,” katanya menurut Sinar Harian.
Semalam, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari memperkenalkan logo Hari Kebangsaan PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.
Fadhli berkata, logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun akan mencadangkannya diperluaskan ke Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis yang ditadbir gabungan itu.
Namun, hari ini, Presiden Gerakan Dominic Lau membantah sambil menyatakan sambutan Hari Kebangsaan tidak patut dipolitikkan dan gabungan pembangkang itu tidak patut dilihat cuba berbuat demikian.
Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.