
Beliau berkata, pihaknya tidak berpuas hati mengambil kira aplikasi itu hanya dimuat turun 293,499 orang sahaja dengan pelawat harian 2,000 orang berbanding populasi negara.
“Setakat ini aplikasi itu telah dimuat turun seramai 293,499 orang sahaja berbanding jumlah populasi negara kita, kadar pelawat harian pula hanya 2,000 orang, sedangkan maklumat di dalam aplikasi itu sebenarnya cukup bermanfaat.
“Kita masih belum berpuas hati, sebab itu kita telah bincangkan dan menjadi agenda untuk dapatkan pandangan, input daripada pemegang taruh kementerian dan sebagainya, bagaimana dan apa bentuk supaya aplikasi ini dapat digunakan secara meluas,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach Sara Hidup di bawah inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional Peringkat Negeri Johor 2023, Johor Bahru.
Armizan berkata, aplikasi itu menyenaraikan 480 barangan, dan pengguna boleh mendapatkan maklumat perbandingan harga barangan pilihan di premis yang berada dalam radius 10km bagi Semenanjung, dan 20km bagi Sabah dan Sarawak.
Katanya, sejak dilancarkan pada 2019, sistem aplikasi itu telah melalui dua proses tambah baik.
Aplikasi Price Catcher boleh dimuat turun menggunakan telefon bimbit yang mempunyai platform iOS dan Android.