
Pengarah LFL Zaid Malek berkata, tindakan merampas dan memusnahkan buku menjadi petunjuk negara polis dan menggesa kerajaan menghentikan semua tindakan penguatkuasaan berkaitan buku-buku berkenaan.
Tambahnya, penguatkuasa kerajaan bertindak secara tidak sah, tidak mengikut perlembagaan dan melulu apabila menyerbu dan merampas buku-buku itu.
“Kami terkejut dengan (tindakan) kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang begitu lekas menggunakan kuasa dimilikinya bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya dalam kenyataan.
“(Akta tersebut) adalah perundangan yang terkenal dengan tindakan keras terhadap kebebasan media pada masa lalu. PH sebelum ini menggesa agar ia dimansuhkan, janji yang jelas dilupakannya.”
Semalam, penulis tempatan Benz Ali menzahirkan kekecewaan atas tindakan pegawai KDN merampas dua buku dari kedainya di Kuala Lumpur. Menurut beliau, buku-buku tersebut tiada dalam senarai larangan.
Pegawai-pegawai KDN merampas satu salinan buku mengenai Karl Marx (“Marx Sang Pendidik Revolusioner” atau “Marx the Revolutionary Educator”) oleh Robin Small dan satu salinan koleksi puisinya (“Koleksi Puisi Masturbasi”), lapor Malaysiakini.
Menurut laporan tersebut, empat pegawai kementerian menyerbu Toko Buku Rakyat di Wisma Central petang semalam.
Zaid juga berkata, langkah kerajaan “memburu” analisis akademik dan buku mengenai keadaan manusia adalah satu lagi langkah sinis yang tunduk kepada konservatisme.
“Kami mengingatkan kerajaan bahawa tugasnya adalah untuk melindungi masyarakat daripada bahaya sebenar, bukan pemikiran atau idea,” katanya.
“Pada setiap masa, kerajaan mesti berpandukan prinsip, bukan sentimen populis dengan harapan memperoleh undi yang mencukupi untuk terus berkuasa.”