
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata kira-kira 19 undang-undang sedia ada serta Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi melaksanakan pengasingan kuasa itu.
“Bagaimanapun, perkara ini juga membabitkan kos yang memerlukan perbelanjaan tambahan kerajaan,” katanya dalam Syarahan Parlimen Siri 3.0: Membina Semula Negara Melalui Pembaharuan di Bangunan Parlimen malam tadi.
Beliau berkata, beberapa undang-undang sudah dipinda apabila perlu bagi menangani dan memperbaiki tadbir urus di Malaysia dalam tempoh sembilan bulan lepas.
Katany, kerajaan kini dalam proses menggubal Rang Undang-undang Kekebalan Negara yang akan menggambarkan prinsip undang-undang antarabangsa seperti kekebalan dan kedaulatan negara, status kedaulatan mutlak, kepastian dalam proses perkhidmatan bagi dokumen mahkamah di negara asing dan pengecualian kepada pemberian kekebalan itu.
Dengan adanya undang-undang sedemikian, beliau berkata, negara berdaulat lain diharap dapat menjamin kekebalan kepada Malaysia berdasarkan prinsip timbal balik.
“Kedaulatan Malaysia perlu dilindungi dan tidak boleh dipandang remeh seperti yang berlaku dalam kes penipuan kumpulan Sulu.”
Azalina berkata, kerajaan perpaduan sedang memperincikan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi meningkatkan kepercayaan orang ramai serta keyakinan pelabur asing.
Katanya, pendekatan seluruh Malaysia, menyatupadukan rakyat, kerajaan dan masyarakat sivil diperlukan dalam usaha mencapai visi untuk membina Malaysia lebih baik dengan ekonomi kukuh, termasuk kemampanan fiskal, pertumbuhan inklusif, pekerjaan berkualiti dan pembaharuan institusi.
“Kerajaan perpaduan mempunyai tanggungjawab moral dan perundangan kepada rakyat untuk memastikan pembaharuan ini ditangani dalam tempoh lima tahun.”