
“Kita sabar dan istiqamah, ‘work in progress’,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program Wangsa Maju Kita Punya di Tasik Danau Kota.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyatakan kesediaan meletak jawatan jika kekalahan teruk parti itu pada PRN Sabtu lepas disebabkan oleh kedudukannya sebagai ketua sayap.
Pada majlis Post Mortem PRN Pemuda Umno, Akmal berkata, beliau akan berbuat demikian jika majoriti suara daripada sayap itu menyatakan pendirian sebegitu.
“Pemuda Umno mesti berkata benar walaupun pahit. Jika majoriti yang ada ini (malam ini), membuat keputusan bahawa Umno tidak diterima oleh rakyat kerana ketua pemudanya berada di situ, saya sedia letak jawatan,” katanya.
Menyedari tekanan dihadapi Umno yang semakin meningkat, Fahmi bagaimanapun percaya pucuk pimpinan komponen gabungan perpaduan kini sedang dalam usaha melaksanakan penambahbaikan bagi parti masing-masing.
Setakat ini, katanya, semua parti akan melalui proses pascanilai (post mortem) untuk mendapatkan maklum balas daripada peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi.
“Sudah pasti semua parti akan melakukan muhasabah mengambil pengajaran dan juga merangka pelan ke depan.
“Kita akan kenal pasti tambah baik, saya serah kepada pucuk pimpinan untuk tentukan,” katanya.