
Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan kepada Hakim K Muniandy bahawa representasi diterima daripada peguam cara bekas perdana menteri, Shafee & Co, pada 2 Ogos.
“Ia adalah dokumen yang banyak dan beberapa isu penting telah dibangkitkan. Kami memerlukan lebih banyak masa sebelum keputusan boleh dibuat,” katanya.
Ashrof meminta kes ditetapkan untuk sebutan dalam tempoh tiga bulan.
Peguam Shafee Abdullah mengesahkan dokumen setebal 51 muka surat dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Semua telah dikemukakan termasuk dokumen dan saksi,” katanya.
Pada sebutan sebelum ini pada Mei, Shafee memberitahu mahkamah pihak pembelaan berharap Peguam Negara Idrus Harun akan menggugurkan pertuduhan terhadap Najib memandangkan pihak pendakwaan memperoleh sabitan dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.
Hari ini, beliau tidak membantah permohonan Ashrof memohon tarikh sebutan yang lebih panjang.
“Jawatan peguam negara sekarang akan berakhir bulan depan. Kami tidak tahu sama ada ia akan dilanjutkan,” kata Shafee.
Pada 3 Feb 2019, Najib mohon dibicarakan terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram di mana beliau dikatakan menerima hasil daripada aktiviti haram, berjumlah RM27 juta melalui tiga akaun perbankan AmPrivate.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di bangunan Kumpulan AmBank di Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi pertuduhan yang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
Pada 23 Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib kerana menggelapkan dana SRC sebanyak RM42 juta. Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu.
Najib memulakan hukuman penjara pada hari yang sama.
Pada 31 Mac, Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan berbelah bahagi 4-1, menolak permohonannya untuk kebenaran supaya sabitan dan hukuman disemak semula.