
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun dipercayai ahli sindiket dadah itu turut ditahan.
Katanya, lelaki 46 tahun itu ditahan ketika memandu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 4 petang Selasa lalu.
“Pada hari sama, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Alma, Bukit Mertajam pada 8 malam,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPK Pulau Pinang.
“Hasil siasatan awal, suspek kedua mempunyai kepakaran memproses heroin base untuk dijadikan heroin sebelum dijual kepada pelanggan. Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau, malah ujian dadah juga negatif.”
Beliau berkata, polis kemudian merampas 65.38kg heroin base, 13.62kg heroin dan 8.48kg serbuk kafein di sebuah kondominium di Tanjung Tokong yang dijadikan makmal memproses heroin.
“Dadah ini kemudian akan diproses di rumah berkenaan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan. Semua dadah tersebut boleh digunakan 4.47 juta penagih, sekiranya terlepas ke pasaran.”
Katanya, sindiket yang aktif sejak awal tahun ini mendapat bekalan dadah dari Thailand yang diseludup melalui jalan darat.