Petisyen pilihan raya MIC di Segamat diperintah bicara penuh

Petisyen pilihan raya MIC di Segamat diperintah bicara penuh

Mahkamah Persekutuan berkata bicara penuh mesti dilakukan untuk menentukan sama ada wujud elemen rasuah.

Calon Pakatan Harapan, R Yuneswaran (kiri) menewaskan M Ramasamy dari Barisan Nasional, dalam saingan di Parlimen Segamat pada PRU15 November lalu.
PUTRAJAYA:
Petisyen pilihan raya Barisan Nasional mencabar kemenangan Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran dari Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 tahun lalu akan melalui perbicaraan penuh.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan M Ramasamy mengembalikan petisyennya, sambil menyatakan perincian difailkan dalam rayuan adalah mencukupi.

Hakim Zabariah Mohd Yusof, berkata mahkamah pilihan raya mesti menentukan sama ada wujud elemen rasuah dan jika bahan kempen digunakan PH menyanggahi undang-undang pilihan raya.

Turut sama mendengar rayuan adalah Hakim Mary Lim dan Hasnah Hashim.

Mahkamah atasan itu menetapkan pengurusan petisyen di Mahkamah Tinggi Muar, pada 24 Ogos.

Awal tahun ini, mahkamah pilihan raya Muar menolak petisyen Ramasamy terhadap Yuneswaran atas alasan ia cacat dan tidak memenuhi keperluan ditetapkan dalam peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Yuneswaran menang pada PRU15 November lalu dengan majoriti 5,669 undi. Beliau mengalahkan Ramasamy, calon Perikatan Nasional, P Poobalan, dan calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey.

Dalam petisyennya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya berkait bahan kempen.

Setiausaha agung MIC itu juga mendakwa Yuneswaran mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

Peguam Shafee Abdullah mewakili Ramasamy, manakala G Manivanan dan Lau Yi Leong mewakili Yuneswaran.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Zureen Elina Dom mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.