2 kali ditipu ‘phone scam’, suri rumah rugi lagi RM98,000

2 kali ditipu ‘phone scam’, suri rumah rugi lagi RM98,000

Mangsa pernah terpedaya penipuan sama libat kerugian RM30,000 pada 2020.

Polis berkata mangsa memindahkan semua wang simpanan Tabung Haji dan amanah saham berjumlah RM98,000 ke dua akaun bank tempatan sebelum menyedari ditipu.
PETALING JAYA:
Seorang suri rumah menjadi mangsa ‘phone-scam’ buat kali kedua selepas kerugian RM98,000 akibat ditipu individu menyamar pegawai polis, dalam kejadian awal bulan ini.

Kejadian sama pernah menimpa mangsa pada 2020 menerusi modus operandi sama menyebabkannya mengalami kerugian RM30,000.

Ketua Polis Hilir Perak Ahmad Adnan Basri, berkata mangsa berusia 64 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Asisten Superintendan (ASP) Firdaus’ kira-kira 12 tengah hari pada 1 Ogos lalu.

“Mangsa didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta sebelum talian disambungkan kepada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Mokhtar kononnya dari IPD Ipoh untuk soal siasat, bagaimanapun mangsa menafikan dakwaan itu.

“Keesokkan harinya, akibat terlalu panik, mangsa memindahkan keseluruhan wang simpanan dalam Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ke dua akaun bank tempatan sebanyak RM98,000 seperti diarahkan.

“Suspek menyatakan akan mengembalikan wang itu setelah siasatan selesai,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, suspek menghubungi mangsa sekali lagi pada 4 petang 13 Ogos lalu yang memintanya membuat bayaran RM15,000 bagi tujuan proses pengembalian wang RM98,000 berkenaan.

“Mangsa yang sudah kehabisan wang simpanan gagal berbuat demikian dan membuat laporan polis pada malam kelmarin selepas menyedari dirinya ditipu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan juga mendapati kejadian ini adalah kali kedua berlaku kepada mangsa selepas kejadian pertama pada September 2020 dengan kerugian RM30,000,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.