1 jenazah mangsa pesawat terhempas diserah pada waris esok

1 jenazah mangsa pesawat terhempas diserah pada waris esok

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata identiti jenazah hanya didedah kepada media selepas perkara itu dimaklum kepada waris.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata proses mengenal pasti baki sembilan lagi mangsa yang maut sedang giat dilakukan.
PETALING JAYA:
Satu jenazah mangsa yang maut dalam tragedi pesawat persendirian terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam akan diserahkan kepada waris esok untuk urusan pengebumian, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

Katanya, identiti jenazah itu akan didedahkan kepada media esok selepas polis memaklumkan perkara itu kepada waris mangsa, lapor Harian Metro.

“Esok pagi ada satu jenazah akan diserah kepada waris. Maklumat lanjut kita akan maklumkan esok kerana kita perlu hubungi keluarga dulu sebelum kita dedahkan kepada umum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas hadir ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Hussein memberitahu wartawan, beliau hadir ke HTAR untuk bermesyuarat dan membincangkan perkara berkaitan mengenal pasti identiti mangsa.

“Saya datang tadi untuk bermesyuarat dengan pihak berkaitan iaitu Pasukan Patologi HTAR, Jabatan Kimia, Bahagian Cap Jari Bukit Aman dan pakar ontologi (gigi) Kementerian Kesihatan.

“Kita juga ada menghantar sampel (mangsa) ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya,” katanya.

Terdahulu Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata, lebih 200 cebisan mayat dan 22 anggota badan terputus seperti tangan, kepala, kaki yang ditemui di lokasi kejadian sudah diserahkan kepada Jabatan Perubatan Forensik HTAR.

Seramai 10 lelaki maut dalam nahas semalam Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat itu, manakala dua lagi orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.