Kapal kargo rosak, 4 kru terjun laut ditemui terdampar

Kapal kargo rosak, 4 kru terjun laut ditemui terdampar

Mereka bertindak terjun dari kapal itu petang Sabtu lalu sebelum ditemui hanyut di Pulau Pemanggil.

Empat kru kapal warga Indonesia berjaya diselamatkan selepas terdampar di Pulau Pemanggil, Mersing. (Gambar Maritim)
MERSING:
Empat kru warga Indonesia ditemukan hanyut pada kedudukan empat batu nautika barat Pulau Pemanggil, di sini, Isnin lalu, selepas kapal kargo dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin utama.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Mersing, Suhaizan Saadin, berkata mangsa dikenali sebagai Darman, 42, Murhairi, 57, Agus Mustafa, 25, dan Suhandri, 22, nekad untuk terjun daripada kapal itu, sebelum hanyut sejauh 110 batu nautika dari perairan Tanjung Pinang, Indonesia.

Beliau berkata terdahulu, pihaknya menerima maklumat terdapat satu kapal mencurigakan hanyut berhampiran perairan pulau berkenaan dan bot Perkasa 44 yang sedang melakukan rondaan telah diarah untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan.

“Kapal tersebut mulai hanyut pada Sabtu (12 Ogos) lepas kira-kira 6 petang dan mereka bertindak terjun kerana telah hanyut beberapa hari dalam keadaan cuaca buruk dan ombak kuat tanpa sebarang bantuan dan komunikasi, setelah terputus hubungan.

“Susulan itu, kita segera mengkoordinasikan Op Carilamat dengan mengarahkan bot ronda ke lokasi mangsa diselamatkan serta menghubungi komuniti maritim yang berada berdekatan untuk memberi bantuan awal kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suhaizan berkata, semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Mersing dan diserahkan kepada pihak Zon Maritim Mersing bagi tindakan selanjutnya.

“Mereka akan dihantar pulang ke jeti asal di Tanjung Pinang, Indonesia apabila proses dokumentasi dengan pihak kedutaan Indonesia dan proses baik pulih enjin kapal terbabit selesai dilakukan.

“Kita juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komuniti maritim khasnya penduduk pulau yang bertindak pantas dalam memberikan bantuan awal kepada mangsa terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.