
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Mohammad Othman, berkata hasil risikan dan maklumat awam membawa kepada penahanan bot kargo dari Indonesia pada 4.45 pagi, di kedudukan 1.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai.
“Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan empat kru termasuk seorang tekong, semuanya warga Indonesia berusia antara 26 hingga 55 tahun. Mereka membawa 530 guni berisi bijih timah seberat hampir 26,500kg,” menurut kenyataan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4.5 juta termasuk bot dan peralatan.
Semua kru ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kastam kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam, serta Akta Imigresen ekoran dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Mohammad berkata operasi berkenaan membuktikan kesiapsiagaan pihaknya membanteras cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjadikan perairan negara sebagai laluan aktiviti jenayah.