
Ikwan, 36 dalam kenyataan ringkas kepada Bernama berkata laporan yang disiarkan dalam media utama menyatakan, namanya antara yang tersenarai menaiki pesawat ringan berkenaan adalah tidak benar dan palsu.
“Saya kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh segelintir pengamal media yang tidak bertanggungjawab dan menyiarkan berita secara melulu, tanpa sebarang semakan sehingga menimbulkan spekulasi yang mengganggu ketenteraman keluarga.
“Sehubungan itu saya meminta agar masyarakat umum menghentikan penyebaran berita palsu berkenaan. Pada masa yang sama, saya mewakili pihak keluarga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.
Pada 4 April 2015, Jamaluddin yang juga bekas duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat, maut bersama lima lagi apabila helikopter dinaiki dari Pekan, Pahang menuju ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih.
Terdahulu, polis mengesahkan orang kenamaan merupakan antara 10 mangsa yang maut dalam nahas membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390.
Antara yang terkorban ialah exco Pahang yang juga Adun Pelangai Johari Harun.
Seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta juga antara mangsa yang maut dalam tragedi itu.
Pesawat yang membawa enam penumpang dan dua kru itu berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Lebuhraya Guthrie kira-kira jam 3 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Penerbangan Awam Malaysia Norazman Mahmud juga mengesahkan pesawat itu tidak membuat panggilan kecemasan atau “mayday” sebelum terhempas.