
Menurut Ketua Polis Padang Besar Mohd Shokri Abdullah, saringan awal menunjukkan kedua-dua suspek, masing-masing berusia 42 tahun dan 32 tahun, positif dadah.
Semakan turut mendapati suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah membabitkan dadah, kata Mohd Shokri.
“Hasil risikan dan siasatan (pasukan petugas), kita menahan seorang lelaki disyaki sebagai suspek pertama kejadian di sebuah rumah di Padang Besar, 4.30 petang semalam.
“Polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 30 tahun dipercayai rakan suspek pertama di sebuah rumah pada 11 pagi hari ini selepas soal siasat dilakukan,” katanya, lapor Harian Metro.
Suspek utama kes direman sehingga 22 Ogos manakala rakannya akan direman esok.
“Berdasarkan siasatan, suspek pertama mengaku terbabit manakala suspek kedua pula dipercayai hanya menemani suspek pertama di tempat kejadian.
“Kita masih meneruskan siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek bagi mengetahui motif kejadian,” kata Mohd Shokri.
Beliau berkata, pihaknya menolak kemungkinan kejadian mempunyai unsur keganasan.
Awal pagi semalam, letupan kuat dilaporkan berlaku di hadapan sebuah sekolah rendah di Padang Besar, disyaki berpunca daripada penggunaan bahan letupan buatan sendiri menggunakan paip besi, menurut siasatan awal polis.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.