
Bagi pertuduhan pertama wanita berusia 27 tahun itu, dan rakannya yang juga warga Singapura berusia 30 tahun, didakwa mencapai niat bersama menganiaya kanak-kanak berkenaan yang berada bawah jagaan mereka menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Pertuduhan kedua pula, dua wanita yang masing-masing seorang suri rumah dan juruteknik di sebuah kilang itu didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak berkenaan yang di bawah penjagaan mereka.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Layang Kasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lepas.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir mencadangkan kepada mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan mereka dilarang mendekati atau berhubung dengan mangsa.
Menurut Nur Diyana, tertuduh pertama adalah ibu kandung mangsa yang telah mengambil kanak-kanak itu daripada jagaan datuk dan nenek di Pokok Sena, Kedah sebelum dibawa ke Johor, namun dalam penjagaannya, dia gagal menjaga mangsa sehingga terdapat kecederaan fizikal serta diabaikan.
“Tertuduh kedua pula merupakan seorang warga Singapura yang tinggal serumah dengan tertuduh pertama, walaupun tiada pertalian darah tetapi tertuduh turut diberi tanggungjawab menjaga mangsa.
“Kanak-kanak itu kini di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan dijaga bapa saudaranya sementara menunggu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memutuskan hak penjagaan mangsa,” katanya.
Peguam Abd Rahim Ali yang mewakili kedua-dua tertuduh membantah kenyataan pendakwaan bahawa tertuduh pertama melarikan mangsa sedangkan tempat seorang anak memang adalah bersama ibu kandungnya.
“Tiada risiko tertuduh pertama akan mengganggu mangsa kerana hak penjagaan ditentukan JKM, dia juga tidak mungkin melarikan diri kerana tidak lagi bekerja sejak dua bulan lepas, malah dia juga tidak mempunyai pasport tetapi mempunyai seorang lagi anak (perempuan) berusia sembilan tahun.
“Bagi tertuduh kedua pula, dia masih bekerja di Singapura namun menetap di Pasir Gudang dan mempunyai pasport serta permit yang sah untuk berada di dalam negara,” katanya.
Hakim Fatimah Zahari kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala rakannya dibenarkan ikat jamin RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu kedua-dua wanita terbabit perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan diberi amaran supaya tidak boleh mengganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 27 Sept depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa daripada HSI.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya.