Tubuh jawatankuasa pemilih di setiap DUN, kata badan pemikir

Tubuh jawatankuasa pemilih di setiap DUN, kata badan pemikir

IDEAS berkata semua parti politik mesti fokus kepada reformasi institusi, membuat dasar, dan memastikan urus tadbir baik selepas berakhirnya PRN.

IDEAS berkata penubuhan jawatankuasa pilihan khas di DUN menambah lapisan semak dan imbang kerajaan negeri masing-masing.
PETALING JAYA:
Badan pemikir menyeru setiap negeri menubuhkan jawatankuasa pilihan khas DUN bertujuan menambah lapisan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan masing-masing.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) membuat syor itu bagi kerajaan negeri menunjukkan kepimpinan dalam tadbir urus baik.

“Jawatankuasa pilihan khas menambah satu lagi lapisan semak dan imbang dan boleh menjadi platform untuk organisasi masyarakat sivil dan pakar memberikan input,” katanya dalam kenyataan.

Selepas berakhirnya PRN enam negeri pada Sabtu lalu, IDEAS berkata tiba masa semua parti politik fokus kepada reformasi institusi, membuat dasar, dan memastikan urus tadbir baik.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh, juga menggesa Putrajaya menjamin setiap negeri menerima peruntukan dan sumber saksama, tanpa mengira gabungan mentadbir kerajaan negeri.

“Mesti ada kompromi, kerjasama dan sinergi antara kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar,” katanya.

Beliau turut menyeru semua parti politik komited meluluskan akta pendanaan politik demi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pendanaan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.