SPRM mohon Notis Merah jejaki menantu Muhyiddin, kata KPN

SPRM mohon Notis Merah jejaki menantu Muhyiddin, kata KPN

Razarudin Husain berkata, SPRM membuat permintaan lisan untuk membantu menjejaki Adlan Berhan dan seorang peguam.

Razarudin Husain berkata, polis akan bekerjasama rapat dengan SPRM untuk membawa pulang individu dikehendaki itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta polis mengeluarkan Notis Merah ke atas menantu Muhyiddin Yassin dan seorang peguam yang dikehendakinya bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, SPRM membuat permintaan lisan untuk Notis Merah dan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi antirasuah itu untuk membawa pulang dua individu dikehendaki terbabit.

“Kami akan gunakan apa saja maklumat yang kami ada setakat ini. Permintaan itu hanya dibuat secara lisan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya mungkin meminta bantuan Interpol untuk mengesan Adlan Berhan, 48, dan peguam Mansoor Saat, 69, bagi membantu siasatannya berhubung projek membabitkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Adlan kemudian menafikan melarikan diri, sebaliknya beliau akan kembali ke Malaysia untuk membantu SPRM selagi “unsur ancaman dan penganiayaan dihapuskan”.

Februari lalu, FMT memetik sumber SPRM berkata, agensi itu sedang menyiasat pemberian kontrak lumayan kepada menantu seorang bekas perdana menteri.

Sumber itu berkata, siasatan SPRM tertumpu kepada kemungkinan penyalahgunaan kuasa berkaitan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Adlan dinamakan dalam laporan media pada 2020 dan dikaitkan dengan seorang pendahulu projek itu – penyedia penyelesaian keselamatan S5 Holdings Inc. Tetapi, Pengarah Urusan Kumpulan S5, Syed Hafiz Jamalullail menafikan pembabitan Adlan dalam firma itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.