Trend politik PN rugikan rakyat, kata Khalid Samad

Trend politik PN rugikan rakyat, kata Khalid Samad

Pengarah komunikasi Amanah berkata trend itu merugikan memandangkan ia satu pemikiran yang terlalu taasub terhadap sesuatu jenama atau parti politik.

Khalid Samad berkata disebabkan pemikiran politik dibawa PN, kerajaan Selangor yang menunjukkan prestasi cemerlang turut terkena tempias pada PRN.
KOTA BHARU:
Amanah menyifatkan kaedah politik dibawa Perikatan Nasional (PN) sebagai trend yang merugikan rakyat dan negara, termasuk orang Melayu dan umat Islam.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata trend itu merugikan memandangkan ia satu pemikiran yang terlalu taasub terhadap sesuatu jenama ataupun parti politik.

“Pemikiran politik dengan menyuntik sentimen perkauman serta keagamaan ini merugikan rakyat dan negara…pada PRN kalau prestasi kita baik, maka kekalkan, kalau prestasi tidak baik, tukarlah.

“Tetapi (mengikut) pemikiran politik yang dibawa oleh PN, khususnya PAS, benda ini semua tidak penting, membuatkan pengundi tidak pandang mengenai prestasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Amanah Kelantan yang turut dihadiri Ketua Wanita Amanah Kelantan Dr Hafidzah Mustakim, Adun Kota Lama.

Khalid yang juga pengerusi Amanah Kelantan berkata, disebabkan pemikiran politik dibawa PN itu, kerajaan Selangor turut terkena tempias pada PRN baru-baru ini walaupun menunjukkan prestasi cemerlang.

“Prestasi kerajaan Selangor terbaik, termasuk tahap pembangunan, perkhidmatan dan pakej untuk rakyat yang terbanyak ditawarkan, sekali gus membuatkan kita yakin akan dapat sokongan rakyat,” katanya.

Pada PRN Selangor baru-baru ini, Pakatan Harapan-Barisan Nasional memenangi 34 daripada 56 kerusi dipertandingkan, berbanding 51 daripada 56 kerusi pada pilihan raya 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.