
Premier Sarawak Abang Johari Openg yang mengumumkan pelantikan itu dalam sidang media di sini hari ini turut menamakan lapan individu sebagai ahli lembaga itu.
Ahlinya terdiri daripada Pengerusi Yayasan Tun Jugah (Tun Jugah Foundation), Leonard Linggi Jugah; bekas Pengerusi Shell Malaysia, Iain John Lo; bekas Pengerusi Petronas, Ahmad Nizam Salleh dan pakar pelaburan global, Grainne Dooley.
Ahli lain adalah pakar pelaburan strategi Pacific Investment Management Company, Mohsen Fahmi; Pengarah Permodalan Nasional Bhd, Soedirman Aini, Peguam Besar Sarawak, Talat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Negeri, Wan Lizozman Wan Omar.
Abang Johari berkata, pelantikan itu diluluskan Kabinet Sarawak pada 27 Julai dan tempoh perkhidmatan mereka selama tiga tahun, dengan dana itu beroperasi berkuat kuasa 1 Januari depan.
“Saya percaya pengalaman yang pelbagai dan luas serta kelayakan kukuh daripada golongan profesional terbilang ini sangat bernilai tinggi dan memberi kelebihan besar kepada Lembaga Penjaga Urus Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak dalam mencapai objektifnya,” katanya.
Pada 22 Nov lalu, DUN Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Lembaga Penjaga Urus Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak 2022 dengan peruntukan awal RM8 bilion.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri perlu membuat peruntukan awal dan tahunan dana bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.
“Dana itu dijangka berkembang secara mampan tanpa pengeluaran kecuali untuk peristiwa kritikal atau apabila dana berprestasi lebih baik daripada jangkaan.”
Katanya, dana itu akan diuruskan dengan teliti mengikut dasar pelaburan dan mandatnya untuk menghasilkan pertumbuhan sebenar jangka panjang seimbang risiko dalam aset dilaburkannya.
“Akaun dana dan laporan tahunan aktiviti akan dibentangkan di hadapan DUN Sarawak dan belanjawan tahunannya akan diluluskan Kabinet Negeri.”