
Aminuddin, 56, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 4.15 petang.
Terdahulu, Tuanku Muhriz mengumumkan perkenannya untuk melantik Aminuddin sebagai menteri besar.
Pada PRN Sabtu lalu, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) mengekalkan pentadbiran di Negeri Sembilan selepas memperoleh majoriti dua pertiga.
Mereka menang 31 daripada 36 kerusi dipertandingkan dengan DAP menyapu bersih semua 11 kerusi ditandingi, iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.
PKR pula menang lima kerusi, iaitu Sikamat, Pilah, Sri Tanjung, Ampangan, Chuah, namun hilang Labu manakala Amanah yang bertanding di DUN Klawang dan Paroi hanya mampu mempertahankan kerusi Klawang.
BN mengekalkan kedudukan di 14 daripada 17 kerusi ditandingi, termasuk mempertahankan DUN Lenggeng, iaitu kerusi dimenangi Amanah pada PRU14.
Perikatan Nasional (PN) pula menang di Labu, Paroi, Bagan Pinang, Gemas dan Serting.