Undi merosot tetapi Umno masih relevan di NS, kata Jalaluddin

Undi merosot tetapi Umno masih relevan di NS, kata Jalaluddin

Ketua Umno Negeri Sembilan berkata parti itu berjaya menang 14 kerusi bukti rakyat masih memberi kepercayaan kepada Umno.

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata kerajaan juga perlu melakukan sesuatu untuk menjamin kesejahteraan anggota tentera selepas parti itu tewas di Gemas dan Bagan Pinang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias yakin Umno masih relevan di Negeri Sembilan walaupun majoriti undi yang diperoleh parti itu dalam PRN semalam merosot.

Jalaluddin berkata, Umno berjaya memenangi 14 dari 17 kerusi yang ditandingi menunjukkan rakyat di negeri itu masih memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

“Walaupun majoriti kecil, kita harus lipat gandakan lagi usaha bagi meyakinkan rakyat tentang peranan yang boleh dimainkan oleh wakil BN untuk kesejahteraan dan pembangunan negeri lima tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Jalaluddin mengulas keputusan PRN yang menyaksikan jumlah undi majoriti Umno berkurang disebalik gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) berjaya kembali membentuk kerajaan di Negeri Sembilan selepas memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN.

Ketika ditanya kekalahan Umno di Gemas dan Bagan Pinang, meskipun terdapat kem tentera, Jalaluddin berkata pihaknya akan melakukan sesuatu bagi menjamin kesejahteraan anggota dan pesara badan beruniform itu.

“(Kita akan lakukan sesuatu) untuk kembali menyakinkan mereka bahawa kerajaan ambil berat tentang keperluan, pembelaan dan kesejahteraan mereka sama ada waktu mereka berkhidmat atau selepas mereka bersara,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin yang menang di Pertang enggan mengulas mengenai calon menteri besar.

“Saya tak tahu,” katanya ringkas.

Terdahulu ketua PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata majlis angkat sumpah jawatan menteri besar akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah esok. Bagaimanapun, Aminuddin yang juga bekas menteri besar enggan mendedahkan siapa yang bakal dilantik.

Menurut Jalaluddin lagi, sebagai Adun Pertang, beliau akan hadir ke majlis tersebut.

“Semua wakil rakyat dijemput ke istana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.