
Dalam sidang media malam tadi, bekas exco hal ehwal agama Islam, pengguna dan industri halal itu berkata beberapa saluran didapati hilang antara 200 hingga 500 kertas undi selepas penjumlahan dibuat di pusat penjumlahan rasmi undi DUN Sungai Kandis.
“Maksudnya kertas undi dikeluarkan dengan kertas undi yang dikira tidak sama,” katanya.
Menurutnya, perbezaan ketara itu kemudian dimaklumkan kepada ketua tempat pengundi (KTM) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun pegawai yang bertanggungjawab mendakwa terdapat kemungkinan pengundi membawa balik kertas undi.
“Kalau satu dua kertas undi kita boleh terima, tetapi bila kita buat penjumlahan, ada satu saluran sampai 200 (hilang), ada saluran lain sampai 500. Takkan sampai 500 orang bawa kertas undi balik?” soalnya.
“Jadi, kami rasa tidak munasabah dan ada perkara perlu disiasat dan esok (hari ini) kami akan buat laporan polis,” katanya.
Zawawi mendakwa jumlah kertas undi yang tidak dikembalikan di dalam Borang 14 yang ditanda tangan oleh pihak SPR dan wakil calon juga tidak sama dengan angka yang diumumkan malam tadi.
“Borang 14 yang ditanda tangan KTM menunjukkan sebanyak 1,964 kertas undi tidak dikembalikan tetapi di papan skrin hanya catat 110 sahaja,” katanya sambil menambah “kesilapan” itu langsung tidak dibincang dengan pihak calon.
Katanya, antara saluran didapati berlaku kehilangan kertas undi paling banyak ialah Bandar Puteri, iaitu kubu kuat PH sejak sekian lama.
Selepas laporan polis hari ini, Zawawi berkata beliau akan menghantar petisyen kepada SPR dalam tempoh 21 hari bagi mencabar keputusan itu di mahkamah.
DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, PN dan Muda. PN diwakili Wan Dzahanurin Ahmad yang menang dengan 28,926 undi, sementara Zawawi memperoleh 28,759 undi manakala Muda ditandingi Afriena Shaqira Sariff hilang deposit dengan hanya meraih 1,341 undi.
Pada PRK 2018, Zawawi menang di DUN Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi. DUN Sungai Kandis mempunyai hampir 78,000 pengundi dengan 75.6% keluar mengundi pada PRN semalam.