Tiada kecam mengecam, Tok Mat puji kempen DUN Rantau

Tiada kecam mengecam, Tok Mat puji kempen DUN Rantau

Mohamad Hasan berkata semua parti yang bertanding di DUN Rantau berkempen secara sihat.

Mohamad Hasan dan isteri Raja Salbiah Tengku Nujumudin selesai membuang undi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Rantau pagi tadi.
REMBAU:
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memuji kempen parti yang bertanding di DUN Rantau apabila tiada adegan saling mengecam antara satu sama lain.

Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat berkata Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bersaing di kerusi itu menjalankan kempen PRN secara sihat.

“Tidak ada kecam mengecam, cuma masing-masing minta dan rayu supaya pengundi-pengundi memberikan undi,” kata calon DUN Rantau itu kepada media selepas selesai membuang undi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua.

Terdahulu, Mohamad dan isteri Raja Salbiah Tengku Nujumudin tiba di sekolah berkenaan pada 8.30 pagi dan selesai melaksanakan tanggungjawab itu pada 8.40 pagi.

Bagi kerusi itu, beliau dicabar oleh calon PN Rozmal Malakan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata di Rantau beliau dan calon PN saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Tempat lain dikhabarkan panas. Di Rantau sudah memang jadi begitu kerana yang penting bukan masa 14 hari waktu kempen itu… yang penting selepas pilihan raya.

“Ini kerana apa jua kempen kita, apa jua manifesto… pengakhir cerita nak khidmat pada masyarakat,” katanya.

Mohamad juga menyeru semua pengundi-pengundi di Negeri Sembilan untuk keluar mengundi seawal mungkin disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu pada sebelah petang.

“Jadi jalankan tanggungjawab kita keluar undi.. selepas itu kita buat kerja harian kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.