‘Tiada apa nak sembunyi’, Dr M jawab saman Halim di mahkamah

‘Tiada apa nak sembunyi’, Dr M jawab saman Halim di mahkamah

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menjawab tuduhan ahli perniagaan itu di mahkamah.

Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa baru kini Halim Saad mengambil tindakan terhadapnya.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan menjawab saman difailkan terhadapnya oleh ahli perniagaan, Halim Saad berhubung isu jual beli saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) di mahkamah.

“Saya akan jawab tuduhan ini di mahkamah melalui peguam saya. Tiada apa saya perlu sembunyikan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dilaporkan Halim memfailkan saman terhadap Mahathir dan dua pihak lain, bagi menuntut pampasan berhubung kerugian dialaminya selepas pengambilalihan saham Renong dan  UEM oleh kerajaan hampir 23 tahun lalu.

Saman itu difailkan Halim selaku plaintif di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 2 Ogos lalu, menamakan Mahathir, bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Halim yang juga bekas pengerusi eksekutif dan pengarah Renong mendakwa, beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong, dengan pelaksanaan itu membolehkan plaintif memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

“Namun, saya diarahkan oleh Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan, iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

“Saya juga diarahkan agar keluar daripada UEM dan Renong sebagai pemegang saham, dan juga pengarah termasuk anak-anak syarikat dua syarikat itu.

“Ini mewajibkan saya menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan, dan selanjutnya melupuskan saham Renong milik saya dengan kerugian,” dakwanya dalam pernyataan tuntutan itu.

Mahathir mempersoalkan mengapa baru kini Halim mengambil tindakan terhadapnya.

“Saya juga hairan dengan dakwaan Halim ini. Kenapa selama ini dia tidak ambil tindakan terhadap saya dan tiba-tiba dekat pilihan raya dia saman.

“Akan berulang lagikah sejarah baling batu sembunyi tangan?” soalnya.

Beliau berkata, saman itu agak pelik kerana Halim juga cuba menyaman Nor Mohamed dan Khazanah pada 2013 tetapi gagal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.