Pengundi muda jadi penentu PRN esok

Pengundi muda jadi penentu PRN esok

Penganalisis berpendapat kebanyakan pengundi muda masih di atas pagar dan tidak memiliki kesetiaan kepada mana-mana parti.

Pengundi berusia 21 hingga 29 tahun paling ramai dalam PRN enam negeri dengan 2,169,120 orang, diikuti pengundi 30 hingga 39 tahun seramai 2,163,982 orang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat nasib parti bertanding dalam PRN enam negeri esok banyak bergantung kepada sokongan pengundi muda.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Farhana Mhamad Shukri berkata, kebanyakan pengundi muda masih di atas pagar dan tidak memiliki kesetiaan kepada mana-mana parti seperti generasi lama.

“Bagi saya, pengundi muda amat penting sebab mereka ini kebanyakan masih di atas pagar jika dibandingkan dengan generasi lama. Jadi, memang betul mereka akan jadi penentu keputusan (PRN),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keyakinan Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan majoriti pengundi muda masih tidak dapat dipastikan, meskipun golongan itu dilaporkan cenderung kepada PN pada PRU15.

Ini kerana katanya, ada kemungkinan mood pengundi berubah selepas PRU15 kerana mereka boleh menilai prestasi kerajaan sedia ada.

“Sekarang, mereka sudah boleh lihat dan nilai sejauh mana retorik tersebut. Maksud saya, tiada ada ‘immediate threat’ yang kononnya negara akan hancur bawah Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN),” katanya merujuk sentimen dimainkan PN sebelum ini.

Seorang lagi penganalisis politik, Lau Zhe Wei berkata, daripada trend keputusan PRU lalu, boleh dikatakan pengundi muda tiada kecenderungan terhadap sentimen menyentuh isu kaum, agama dan fahaman politik.

Beliau berkata, kecenderungan pengundi muda berbeza terhadap PAS ketika parti Islam itu bersendirian dan selepas bekerjasama dengan Bersatu.

“Kita dapat lihat anak muda Melayu mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk menyokong PN berbanding PH atau BN. Kecenderungan sebegini berbeza sama sekali dengan ketika PAS berdiri sendiri. Saya percaya mereka bukan sekadar menyokong PAS atau Bersatu, tetapi menyokong gabungan itu.”

Daftar pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan terdapat 2,169,120 pengundi berusia 21 hingga 29 tahun, paling ramai dalam PRN enam negeri esok, diikuti pengundi 30 hingga 39 tahun seramai 2,163,982 orang.

Pengundi 18 hingga 20 tahun pula seramai 661,905 orang, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 274,194 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.