Undi ikut rekod prestasi kerajaan negeri, kata Santiago

Undi ikut rekod prestasi kerajaan negeri, kata Santiago

Charles Santiago berkata kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang menyediakan pelbagai program kebajikan rakyat.

Charles Santiago berkata rakyat patut mengetahui pihak yang mengambil berat isu hak asasi dan kebajikan mereka.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa pengundi mengundi berdasarkan rekod prestasi enam kerajaan negeri pada PRN Sabtu ini.

Katanya, keadaan sebelum PRN patut digunakan untuk meneliti sejauh mana prestasi kerajaan negeri sejak lima tahun lalu, tetapi kempen sebaliknya dijadikan pungutan suara terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan sama ada beliau mampu menyempurnakan mandatnya.

“Menjelang PRN, ceramah dan ucapan masih digunakan untuk menjadikan 12 Ogos sebagai pilihan raya nasional, bukannya negeri.

“Dengan berbuat demikian, kita membazir peluang mempamerkan dasar kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan atau menonjolkan kurang kemajuan besar di negeri pimpinan pembangkang, iaitu Kelantan, Terengganu serta Kedah.

“Kisah kemajuan Pakatan Harapan dan kegagalan negeri ditadbir pembangkang patut mendominasi kempen supaya rakyat tahu siapa mengambil kira tentang hak asasi dan kebajikan mereka,” kata bekas Ahli Parlimen tiga penggal itu dalam kenyataan.

Beliau menekankan kejayaan Selangor melaksanakan program memanfaatkan wanita melalui pemeriksaan kesihatan dan masyarakat antaranya Pusat Dialisis Rakyat.

Kerajaan negeri pimpinan PH itu turut menawarkan kredit mikro tanpa faedah sehingga RM50,000, selain bekalan air, tuisyen dan kos pengebumian percuma untuk warga emas serta orang kurang upaya.

Santiago berkata, Pulau Pinang menambah bantuan tahunan kepada warga emas dan memperkenalkan Program Bantuan Ibu Tunggal serta Program Suri Rumah Emas.

Katanya, Negeri Sembilan menawarkan pakej bantuan tambahan RM10 juta untuk membantu rakyatnya perintah kawalan pergerakan Covid-19.

Beliau berkata, ini berbeza dengan negeri pimpinan pembangkang yang bergelut dengan keperluan asas seperti bekalan air, antara lain.

“Penduduk di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, sila lihat apa yang kerajaan negeri lakukan untuk anda sebelum anda mengundi.

“Penduduk di negeri pimpinan pembangkang, undilah Anwar dan kerajaan perpaduannya jika anda ingin melihat kemajuan setanding negeri lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.