
Katanya, Ramasamy hanya keluar DAP selepas digugurkan sebagai calon PRN menunjukkan beliau “tidak ikhlas” selama ini, walaupun diberikan peluang berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang sejak 2008.
“Adakah selama ini dia tunggang parti demi jawatan?” katanya selepas sebuah program PH-BN di Kampung Chennah di sini.
“Apabila dia bukan calon DAP (dalam PRN), dia tinggalkan parti. Ini menunjukkan dia tidak ikhlas semasa berada dalam DAP.”
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, tindakan Ramasamy keluar DAP membuktikan parti itu membuat keputusan betul tidak mencalonkannya dalam PRN Pulau Pinang.
Beliau juga yakin keputusan Ramasamy tidak akan menjejaskan peluang DAP dalam PRN Sabtu ini.
Adun Perai selama tiga penggal itu antara tujuh bekas wakil rakyat Pulau Pinang yang digugurkan sebagai calon PRN.
DAP memilih S Sundarajoo, bekas ketua pegawai operasi pemaju hartanah Eco World Sdn Bhd, sebagai calon di kerusi Perai.
Terdahulu, Ramasamy dalam sidang media hari ini mendakwa DAP Pulau Pinang melakukan “pembersihan” untuk menyingkirkan individu dianggap menyokong Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Katanya, beliau juga kecewa dengan ketiadaan budi bahasa “bekas pelajarnya” Loke, yang menurutnya gagal memaklumkannya lebih awal bahawa beliau tidak akan dicalonkan.
Ramasamy turut mendakwa masyarakat India kecewa dengan DAP menggugurkannya dan ada lagi ahli akan meninggalkan parti itu untuk menyokong tindakannya.
Anwar akan jumpa Ramasamy
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menghubungi Ramasamy mengenai keputusannya keluar DAP.
“Ramasamy sahabat saya. Saya tentunya akan dapatkan pandangan daripada dia.
“Dia ada beberapa masalah khusus dengan parti. Jadi, saya harap dia mungkin (boleh) main peranan positif untuk membantu kerajaan,” katanya dalam Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-36 di Kuala Lumpur.