Pengangguran turun kepada 3.4% pada Jun

Pengangguran turun kepada 3.4% pada Jun

Bilangan penganggur menurun kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang pada bulan sebelumnya, menurut DOSM.

Penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan kekal dalam trend menaik, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, menurut DOSM.
PUTRAJAYA:
Kadar pengangguran di Malaysia menurun sebanyak 0.1% kepada 3.4% pada Jun lepas, berbanding 3.5% yang direkodkan pada bulan sebelumnya, demikian menurut Perangkaan Tenaga Buruh, Jun dan suku tahun kedua 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur pada bulan itu juga menurun kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang sebelum itu.

Katanya, pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada bulan itu, disumbangkan oleh peningkatan berterusan bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur berada pada trend menurun walaupun prospek ekonomi diunjurkan berkembang sederhana.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Jun 2023 terus mengukuh sebanyak 0.2% merekodkan 16.89 juta orang daripada 16.86 juta pada Mei lepas,” katanya.

Mohd Uzir berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Jun tidak berubah pada 70%, seperti yang dicatatkan pada bulan lepas.

Katanya lagi, bilangan penduduk bekerja pada Jun terus merekodkan trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% kepada 16.31 juta orang berbanding 16.28 juta orang pada bulan sebelumnya.

Daripada jumlah penduduk bekerja itu, 75.4% adalah dalam kategori pekerja yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1% kepada 12.30 juta orang pada Jun berbanding 12.29 juta orang pada Mei, katanya.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja sendiri juga terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.5%, atau 2.95 juta pada Jun, berbanding 2.94 juta orang sebelumnya.

Mengikut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata, penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan kekal dalam trend menaik terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan.

Katanya, jumlah penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan peningkatan pada bulan itu.

Beliau berkata bilangan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari kerja, terdiri daripada 80.3% daripada jumlah penganggur dan kategori ini menurun sebanyak 0.8% kepada 466,900 orang pada Jun lepas, berbanding 470,400 orang pada bulan sebelumnya.

Daripada jumlah penganggur aktif itu, 61.1% merupakan mereka yang menganggur kurang tiga bulan, manakala 6.6% ialah golongan yang telah lama menganggur lebih setahun, katanya.

Beliau berkata, bilangan penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan pula merekodkan peningkatan sebanyak 0.5% kepada 114,800 orang pada bulan itu, berbanding 114,200 pada tempoh sebelumnya.

Kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 24 tahun pada Jun kekal 11%, mencatatkan 312,400 orang berbanding 313,000 orang sebelum itu, manakala kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 30 tahun menurun 0.1% merekodkan 6.9%, dengan bilangannya 446,800 orang berbanding 448,600 orang bagi tempoh sama.

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk luar tenaga buruh terus menurun, iaitu sebanyak 0.02% atau 7.23 juta orang pada Jun, katanya.

“Sebab utama bagi luar tenaga buruh adalah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga yang menyumbang 43.5%, diikuti oleh bersekolah atau latihan sebanyak 39.9%,” kata beliau.

Mohd Uzir berkata, prestasi keseluruhan pada suku kedua 2023, bilangan tenaga buruh terus menunjukkan peningkatan dengan pertambahan 0.5% kepada 16.73 juta orang, berbanding 16.65 juta yang dicatatkan pada suku pertama.

Katanya, bilangan orang bekerja turut meningkat 0.5 peratus kepada 16.15 juta orang pada suku kedua tahun ini berbanding 16.06 juta orang sebelum itu, manakala bilangan penganggur menurun 0.9% kepada 581,400 orang, berbanding 586,900 orang pada suku pertama.

Kadar pengangguran pada suku kedua 2023 kekal 3.5% seperti suku sebelumnya.

“Kedudukan tenaga buruh pada bulan-bulan akan datang dijangka terus berkembang dengan mantap sejajar dengan jangkaan Indeks Peneraju Malaysia yang meramalkan prospek ekonomi yang baik pada bulan-bulan seterusnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.