
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata 28 keterangan diambil membabitkan 17 pengadu, seorang penganjur serta 10 pihak daripada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
“Hanya (ahli) kumpulan rock terbabit yang telah berlepas keluar negara pada masa kejadian belum dapat diambil keterangan.
“Siasatan telah dilengkapkan dan kita akan serahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut seawal mungkin,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPK Selangor.
Pada 21 Julai lalu, persembahan The 1975 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy bertindak biadab dan tidak senonoh, termasuk memegang botol arak di atas pentas serta membuat kenyataan menghina undang-undang negara berkaitan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, polis menerima laporan mengenai kumpulan itu hanya selepas mereka berlepas pulang ke UK dalam tempoh enam jam selepas persembahan mereka dihentikan.
Beliau berkata, pihaknya akan berurusan dengan pihak berkuasa UK jika terdapat proses pendakwaan terhadap kumpulan itu.