Belia P Pinang harap kerajaan negeri seterusnya tangani isu peluang pekerjaan, banjir

Belia P Pinang harap kerajaan negeri seterusnya tangani isu peluang pekerjaan, banjir

Antara isu lain yang mereka harapkan kerajaan negeri dapat tangani termasuk mewujudkan lorong berbasikal di Seberang Perai.

Daripada 1.23 juta pengundi berdaftar di Pulau Pinang, 298,471 berusia antara 18 dan 29 tahun, menurut data SPR.
GEORGE TOWN:
Golongan belia di Pulau Pinang mengharapkan wujudnya lebih banyak peluang pekerjaan, keutamaan kaum dalam pengambilan pekerja dihentikan, dan kawasan Seberang Perai yang lebih mesra basikal daripada kerajaan negeri seterusnya.

Dengan golongan ini mempunyai suara lebih besar apabila Pulau Pinang mengundi Sabtu ini, mereka memberitahu FMT bahawa hasrat utama mereka adalah agar lebih banyak peluang pekerjaan wujud untuk penduduk tempatan.

Anak jati Permatang Pauh yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 29, berkata, beberapa syarikat dan kilang seolah-olah lebih gemar mengambil warga asing bekerja berbanding orang tempatan.

“Saya harap kerajaan negeri baharu (nanti) akan bangunkan lebih banyak kawasan perindustrian dan pastikan hanya orang tempatan diambil bekerja (di syarikat-syarikat di sana)”, kata Angah, yang juga seorang pemilik restoran.

Azam Rozi, 21, bersetuju dengan berkata, lebih banyak pekerjaan perlu diwujudkan di Pulau Pinang agar belia tempatan tidak perlu mencari kerja di negeri lain selepas tamat pengajian.

Azam, yang menuntut di di maktab perguruan, berharap mana-mana pihak yang membentuk kerajaan Pulau Pinang akan datang akan membawa lebih banyak pelaburan ke Seberang Perai Utara yang menurutnya, “kurang pelaburan”.

Penduduk Teluk Air Tawar itu juga memetik potensi kampung halamannya dengan berkata, kawasan bakaunya boleh dijadikan lokasi pelancongan, sesuatu yang telah dicadangkan oleh seorang calon pilihan raya.

Sementara itu, T Vikneshwary, 29, berkata kerajaan negeri perlu memantau majikan yang hanya mengambil penutur asli bahasa Mandarin bekerja, menyebabkan mereka yang bukan berbangsa Cina tersisih.

Anak kelahiran Juru itu berkata, permohonan pekerjaannya sebelum ini pernah ditolak kerana beliau bukan “penutur asli bahasa Mandarin” walaupun mahir dalam bahasa itu.

“Patut wujud undang-undang yang membolehkan saman difailkan terhadap pengurus pengambilan pekerja yang meminta hanya ‘penutur asli bahasa Mandarin’. Barulah mereka belajar daripada kesilapan mereka,” katanya.

Bagi Teh Yu Ming, penduduk Taman Selamat, penebatan banjir menjadi harapannya paling utama. Kawasan kediamannya dua kali dilanda banjir sejak dua tahun lepas.

Eksekutif sumber manusia berusia 30 tahun itu berkata, beliau bertuah kerana rumahnya terselamat dalam dua kejadian banjir tersebut, tetapi beliau tertanya-tanya sama ada rumahnya akan kekal selamat jika berlaku lagi banjir.

Beliau mahu langkah tebatan banjir dilaksanakan, termasuk peluasan longkang di sekitar Taman Selamat dan kawasan kediaman berjiranan, Taman Sejahtera.

Jurutera dan peminat aktiviti berbasikal J Kishen Kumar mengeluh bahawa tiada lorong berbasikal di Seberang Perai, seperti yang dibangunkan di bahagian pulau sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Kishen, 29, berkata beberapa jalan di Seberang Perai tidak selamat untuk penunggang basikal serta motosikal kerana tidak ditandakan dengan baik. Beliau berharap pentadbiran negeri akan datang komited dalam membina lorong berbasikal yang elok di sekitar Seberang Perai.

Daripada 1.23 juta pengundi berdaftar di Pulau Pinang, 298,471 berusia antara 18 dan 29 tahun, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.